Monday, June 7, 2010
Konsep Penilaian
2Pernahkah anda berada dalam satu-satu acara lelongan awam seperti melelong barang-barang antik. Cuba anda bayangkan bagaimanakah seseorang tersebut membuat penilaian sebelum membuat keputusan untuk membeli. Apakah sebenarnya maksud penilaian?
Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.
Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.
Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.
Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara.
Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian, anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya.
Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian, kita akan dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Banyak definisi telah diberikan kepada istilah “penilaian”. Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara.
Gay (1985) berpendapat bahawa “penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai”. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.
Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat
lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau temubual.
Justeru, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D atau E) bersama penjelasan nilainya (seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal). Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan cepat, tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai/interpretasi ukuran.
Penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah dan makmal, penilaian dilakukan bagi mengetahui sama ada pensyarah ‘mengajar’ dan pelajar ‘belajar’.
Tujuan Penilaian
• Mengumpul maklumat tentang pencapaian murid selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya membuat pentafsiran dan mengambil tindakkan yang sewajarnya.
• Menentukan kekuatan dan kelemahan murid dalam pelajaran sesuatu kemahiran supaya merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan.
• Menentukan kesan pengajaran guru untuk merancang strategi pengajaran yang lebih berkesan.
• Menentukan pencapaian objektif pelajaran yang ditetapkan untuk merancang aktiviti P&P pada masa yang akan datang.
• Merekod keputusan-keputusan penilian dalam Rekod Prestasi dan Rekod Profil untuk dirujuk oleh pihak-pihak yang berkenaan.
• Menilai keberkesanan pelaksanaan sesuatu program baru seperti program KBSR atau KBSM.
Proses penilaian melibatkan tiga langkah utama, iaitu:
1) Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur
2) Meneteapkan suatu kriteria bagi pengukuran
3) Membuat suatu pentaksiran ( pertimbangan ) tentang hasil pengukuran.
Prosedur penilaian megandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisian dan penyimpulan. Prosedur penilaian ini secara ringkasnya boleh dilaksanakan dalam lima peringkat:
a) Peringkat persediaan ujian
b) Peringkat pentadbiran ujian
c) Peringkat pemeriksaan dan pengukuran
d) Peringkat analisis
e) Peringkat interprestasi dan tindakan
Dalam usaha membuat penilaian yang wajar, guru akan mempertingkatkan maklumat dari berbagai-bagai punca, seperti pengetahuannya sendiri tentang murid tersebut, latar belakang dan pengalaman mereka, keadaan pembelajaran di rumah dan di sekolah, minat dan perkara-perkara yang tidak diminati oleh murid. Kesemua ini akan dipertimbangkan atau dinilai oleh guru dan akhirnya satu penilaian akan dikemukakan untuk membolehkan tindakan wajar selanjutnya, sama ada memberi pengajaran tambahan, beralih ke pengajaran lain, menukar kaedah pengajaran dan sebagainya.
Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian
Penilaian pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan kualifikasi. Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan bukti empirikal penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar. Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai terhadap bukti empirikal penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai atau tidak.
Bukti empirikal penguasaan pelajar dalam bentuk skor yang sahih dan boleh dipercayai sangat diperlukan bagi membuat penilaian. Keperluan ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita membuat keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat guru mengukur pencapaian pelajar, semakin tepat penilaian guru terhadap keberkesanan pengajarannya.
Justeru itu, penilaian pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Bukti-bukti empirikal tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh menggunakan pengukuran perlu dianalisis. Memandangkan pengukuran di bilik kuliah dan makmal sering menggunakan ujian, pengujian merupakan salah satu aspek utama dalam bidang penilaian pengajaran.
Seseorang guru biasanya merangka objektif dan kandungan kursus yang hendak diajar sebelum merancang strategi dan kaedah pengajaran kursus berkenaan. Kemudian, beliau akan menyediakan soalan sama ada untuk kuiz, ujian atau peperiksaan. Dalam merancang dan membina soalan, adalah penting agar soalan-soalan tersebut relevan, sesuai dan menepati objektif kursus yang dirancang dan kandungan yang diajar.
Seterusnya, kertas jawapan pelajar perlu diperiksa, diskor, dianalisis dan ditafsir bukan sahaja untuk membuat penilaian yang adil terhadap penguasaan pelajar dalam kursus yang diajar, malah bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan soalan dan seterusnya pengajaran guru. Justeru pemahaman terhadap konsep penilaian, pengukuran dan pengujian, ciri-ciri utama soalan ujian, matlamat mereka bentuk soalan formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta norma dan kriteria sangat penting bagi seseorang guru bagi memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 Response to Konsep Penilaian
Nice post, thanks for sharing !
To download free ringtone for mobile, invite you visit here: mobile ringtones
Post a Comment