Thursday, January 7, 2010

RAHSIA DI SEBALIK DEMAM

0





Hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan apakah pula
hikmahnya?

Hakikat Demam.
Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radhiallahu anhuma
mengatakan yang maksudnya :

"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka
padamkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari
Nabi Sallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu
dinginkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Muslim)

Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari
tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api
neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu
dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar
daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis
kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga
untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan
kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang
yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri
manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh
Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan
sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari
kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api
neraka.

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu Al-Ambari
ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa
sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.
Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam
atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam
agama?

Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan
kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang
ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama
manusia. Nabi Shallallahu alaihi wasallam sendiri, para sahabat dan
pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka.
Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya
datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya
kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah
sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.

Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada
sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan
benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu
atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka
dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu
kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit,
tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau
boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.

Al-Quran ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub Alaihissalam
dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi
Ayyub alami ialah berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat
dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal,
tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa
menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda
menggaru badannya dengan pecahan periuk dan
akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan
tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari
tubuh baginda yang luka itu, nanah yang baunya sangat busuk. Orang
ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu,
lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri tempat tinggalnya ke
tempat terpencil. Semua orang
memencilkannya kecuali isterinya yang merawatnya.

Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan
dia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah
bermohon kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan
permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam Al-Quran :

Tafsirnya : "Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan
berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang
Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang
mengasihani". (Surah Al-Anbiya¡¦: 83)

Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub
Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda
dalam rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut "aku
disentuh" dan tidak menyebut perkataan "aku ditimpa". Di sini
menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya.
Nabi Ayyub tidak menyebut juga "atas kehendakMu", kerana kesopanannya
yang sangat tinggi terhadap Allah
Subhanahu Wa Taala. Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan
kata-kata yang halus juga iaitu: "Sedang Engkaulah sahaja yang lebih
mengasihani daripada segala yang mengasihani".

Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang dapat
menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat
Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih.
Hanya inilah permohonan Nabi Ayyub kepada Allah. Dia tidak merungut
dan mengeluh, apatah lagi menyesali apa yang telah berlaku. Dia cuma
memohon belas kasihan daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

Inilah satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran dan contoh
tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit,
harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati
semuanya, tetapi berkat sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala
telah mengabulkan doa dan rayuannya, lalu dia pun sembuh seperti
sediakala dan berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda
yang melimpah ruah.

Mencaci-maki Demam.
Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar
dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai
sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal
dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang
berbuat demikian oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ini
bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir
Radhiallahu anhu yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung
ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:

"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?

Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya".

Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda: "Jangan engkau memaki
penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia)
sebagaimana
landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi".
(Hadith Riwayat Muslim)

Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa
rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah
kita sabar menempuhinya.

Demam Penebus Dosa.
Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau
hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir
Radhiallahu anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang
sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang
menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.

Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia
menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.

"Ya Allah, selamatkanlah umat Islam yg sedang sengsara di Lubnan,
Palestin, Afghanistan, Iraq, Chechnya serta diseluruh pelosok dunia
akibat dari angkara mungkar dan kekejaman musuh-musuh Mu.
Peliharakanlah mereka, lindungilah mereka, kasihanilah mereka dan
berikanlah rahmatMu ke atas mereka.

Amin, ya Rabbal Aalamin.""

No Response to "RAHSIA DI SEBALIK DEMAM"

Post a Comment