Monday, May 3, 2010

ujian sumatif

0

* PENILAIAN SUMATIF

Penilaian sumatif ialah penilaian yang dibuat pada akhir pengajaran ( akhir penggal/ akhir tahun), yang bertujuan untuk menilai pencapaian akhir pelajar. Berbeza dengan penilaian formatif yang lebih menumpukan kepada penilaian penguasaan pelajar dalam sesuatu tajuk, penilaian sumatif bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir penggal persekolahan atau akhir tahun yang juga dapat menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum.

Penilaian sumatif meliputi aktiviti pengujian dan pengukuran atas beberapa unit pembelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal, pertengahan tahun atau genap satu tahun. Cara penilaian yang digunakan adalah bentuk formal dengan menggunakan kertas ujian, pensil, peperiksaan amali atau bertulis, skala kadar dan senarai semak.

Penilaian sumatif digunakan untuk menentukan pencapaian murid dalam beberapa unit pembelajaran. Keputusan ujian akan digunakan untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti pengayaan dan pemulihan, merekod keputusannya dalam rekod profil serta menempatkan semula kedudukan murid dalam kumpulan yang sesuai.

Ujian sumatif adalah luas bidangnya dan ia sentiasa mengukur satu contoh semua tugasan pembelajaran yang ditentukan dalam pengajaran. Di samping pemberian gred, ujian sumatif juga membekalkan maklumat untuk menilai kesan pengajaran (Ee Ah Meng ) . Contoh penilaian sumatif yang nyata ialah Peperiksaan Sijil Perguruan di akhir semester 2 dan semester 4 dan peperiksaan akhir tahun PMR, SPM, dan STPM.

Tujuan Penilaian Sumatif

* membantu murid-murid secara individu dalam meningkatkan pencapaian.

* memberikan gred kepada murid-murid berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan.

* mengiktiraf kebolehan dan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar. Ini berdasarkan skor yang diperolehi oleh pelajar dalam penilaian yang dijalankan.

* dijadikan petunjuk dalam memulakan sesuatu kursus baru yang berkaitan.

* memperlihatkan peringkat pencapaian yang berbeza mengikut kumpulan.

Ciri- ciri :

* lebih menumpukan menilai tahap penguasaan pelajar dalam satu-satu topik pembelajaran

* untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan dan digunakan untuk menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum secara keseluruhan.

Langkah-Langkah Membentuk Ujian Sumatif

- Membentuk jadual penentuan ujian yang mengandungi maklumat yang lengkap berkaitan objektif, bentuk item, jumlah item, tempoh penilaian, kandungan dan sebagainya. Ini bagi memastikan kesahan ujian yang bakal dilaksanakan dan kebolehpercayaan keputusan yang diperolehi.

- Menggubal soalan-soalan yang berkaitan dengan isi dan perlakuan yang ingin diuji. Setiap item haruslah menguji objektif pelajaran yang telah ditetapkan.

- Mengumpul item secara sistematik. Misalnya mengelompokkan item mengikut bentuk yang sama. Item objektif diasingkan dengan item mengisi tempat kosong, esei dan sebagainya. Item juga boleh disusun mengikut susunan topik atau mengikut aras kemahiran kognitif. Misalnya menyusun soalan bermula aras rendah diikuti aras lebih tinggi.

- Menyiapkan skema pemarkahan bagi tujuan penyemakan kertas ujian. Ini dapat mengelakkan berlakunya bias dalam pemberian markah murid-murid.

- Menyediakan arahan yang jelas tentang apa yang seharusnya murid lakukan dalam menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

- Menguji item tersebut terlebih dahulu melalui ujian rintis kepada sampel pelajar bagi memastikan ujian yang bakal dijalankan itu benar-benar sah dan boleh dipercayai serta dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang wujud pada item berkenaan.

- Menganalisis item yang telah ditadbir secara rintis bagi mengetahui aras kesukaran item, daya diskriminasi item, ketunggalan item, kesahan dan kebolehpercayaan berkenaan serta memastikan pilihan jawapan yang disediakan (distraktor) dapat berperanan dengan baik.

No Response to "ujian sumatif"

Post a Comment