Saturday, June 5, 2010

Konsep Pengujian

2


* Definisi Pengujian

Pengujian merujuk kepada satu teknik untuk mendapatkan matlamat tentang perubahan tingkah laku seseorang individu. Ujian terdiri daripada satu set soalan yang memerlukan maklum balas daripada murid untuk dinilai oleh guru terhadap pencapaian mereka. Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti.

Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.

Pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggar sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:

Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)

Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai markat akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses pengujian inilah seseorang guru dapat mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.

Pengujian memerlukan murid menunjukkan secara eksplisit, seperti perubahan tingkah laku murid berdasarkan perkara yang dipelajarinya. Oleh itu, dalam proses pengujian, pemerhatian dan ujian formal biasanya digunakan sebagai alat pengukuran.Proses pengujian biasanya dimulakan dari peringkat persediaan soalan, kemudian peringkat pelaksanaan dan diikuti dengan peringkat pemeriksaan. Dengan pengujian, guru dapat mengesan sejauh mana murid dapat mengusai satu-satu kemahiran yang telah dipelajari.

Proses pembelajaran murid tidak berakhir dengan menamatkan pelajaran oleh guru-guru sahaja, malahan di akhir sesuatu ujian pihak guru seharusnya mengetahui sejauh mana sesuatu pelajaran itu telah diresapi oleh pelajar-pelajar mereka. Justeru, pengujian amat penting dalam konteks pembelajaran.

* Tujuan Pengujian Pengajaran dan Pembelajaran

Tujuan pengujian adalah untuk mengesan hasil pembelajaran yang dapat dicapai oleh murid dan mengesan kemajuan yang telah diperoleh tentang pencapaian hasil-hasil pembelajaran yang lain serta mengesan kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh murid- murid. Selain itu, tujuan pengujian juga ialah untuk menghasilkan bukti yang boleh digunakan bagi membuat penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran. Penilaian di bilik kuliah dan makmal boleh membantu guru-guru menambah baik pengajaran mereka dan pembelajaran pelajar. Selain matlamat diagnosis pengajaran dan pembelajaran, skor ujian digunakan sebagai asas bagi pengredan, pemilihan, penempatan, kaunseling dan bimbingan pelajar.

* Diagnosis

Satu daripada tujuan pengujian ialah untuk mendiagnos kesukaran yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran. Diagnosis pengajaran diperlukan bagi mengesan sejauhmana pengajaran pensyarah berkesan. Sekiranya berkesan, pensyarah akan lebih yakin untuk meneruskan strategi dan kaedah pengajarannya. Sekiranya tidak berkesan, pensyarah boleh menganalisis dan mengesan kelemahan yang ada supaya strategi dan kaedah pengajaran pensyarah boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.

Diagnosis terhadap pembelajaran pelajar pula diperlukan bagi mengesan sejauhmana pembelajaran berlaku. Sekiranya berkesan, kita boleh meneruskan strategi dan gaya pembelajaran sedia ada. Sekiranya tidak berkesan, kita perlu menganalisis dan mengenal pasti apakah kelemahan yang berlaku supaya strategi dan gaya pembelajaran pelajar boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.

* Pengredan

Pengujian juga dilakukan bagi tujuan pengredan pelajar. Pensyarah boleh mengred pencapaian pelajar kepada kategori ‘lulus’ atau ‘gagal’, ‘lemah’, ‘sederhana’ atau ‘cemerlang’ atau gred ‘A’, ‘B’ ‘C’, ‘D’ atau ‘E’. Melalui pengredan pelajar, kita boleh memberitahu ibu bapa dan pihak berkaitan tentang prestasi akademik pelajar khususnya berbanding dengan prestasi pelajar lain.

Dengan adanya maklumat gred, pensyarah dan ibu bapa boleh memainkan peranan membantu dan seterusnya melibatkan diri dalam proses pendidikan pelajar. Rangsangan luaran seperti penghargaan, nasihat, sokongan, bantuan dan kerjasama dari pihak-pihak yang terbabit dengan pendidikan pelajar khususnya ibu bapa sangat penting bagi meransang kemajuan dan pembangunan pelajar di universiti.

* Pemilihan dan Penempatan

Seringkali juga skor dan keputusan ujian digunakan sebagai asas bagi pemilihan dan penempatan pelajar. Sebagai contoh pelajar yang cemerlang dalam sesuatu kursus sains mungkin dipilih untuk mewakili fakulti atau universiti. Skor dan keputusan ujian juga digunakan bagi pemilihan pelajar untuk mengikuti kursus tumpuan bidang tertentu. Malah, keputusan ujian di universiti digunapakai oleh bakal majikan sebagai kriteria pemilihan dan penempatan graduan ke dalam pekerjaan yang sesuai.

* Kaunseling dan Bimbingan

Keputusan dan skor ujian boleh digunakan untuk membantu pelajar supaya berdaya maju. Berasaskan keputusan ujian, para pensyarah dan kaunselor boleh membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan kekuatan masing-masing supaya program dan tindakan intervensi dilakukan bagi memperbaiki keadaan pelajar. Keputusan ujian juga membantu para pensyarah dan kaunselor untuk memberi khidmat bimbingan misalnya bagi memandu pelajar menceburi bidang kerjaya yang diminati apabila pelajar bergraduat.

* Ciri Utama Ujian

Bagi memastikan sesuatu ujian mengumpul bukti dengan berkesan, ujian berkenaan mestilah sah, boleh dipercayai, objektif, boleh ditadbir dan mudah ditafsir.

* Kesahan Ujian

Soalan ujian mestilah relevan dan menguji apa yang hendak diuji. Soalan juga mestilah seimbang dari segi bilangan berdasarkan tajuk dan sub-tajuk kandungan yang diajar. Justeru, soalan yang dibina mestilah menepati objektif dan kandungan sesuatu kursus.

Kesahan merujuk kepada sejauh mana ujian mengukur apa yang hendak diukur. Sebagai contoh, jika guru memberi satu ujian kepada pelajar bagi menentukan tahap kefahaman membaca berasaskan petikan rencana, ujian tersebut mestilah dengan sebenarnya mengukur kefahaman membaca. Isu kesahan boleh dilihat daripada tiga aspek iaitu:

1- kesahan kandungan

2- kesahan gagasan

3- kesahan berkaitan kriteria.

Ø Kesahan Kandungan

Kesahan kandungan merujuk sejauh mana sesuatu ujian merangkumi domain kandungan yang hendak dinilai. Kandungan sesuatu ujian perlu merupakan sampel ‘representative’ kandungan bidang yang ingin diukur. Untuk menentukan ujian yang digunakan meliputi kandungan bidang yang diuji, guru perlu menakrifkan kurikulum dan isi pelajaran yang diajar.

Kandungan pelajaran biasanya luas. Oleh itu, guru boleh menggunakan teknik persampelan kandungan bagi mewakili kandungan pelajaran. Guru boleh merangka Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) bagi menggambarkan kadar tingkah laku yang perlu diuji bagi mewakili kandungan pelajaran. Pendapat pakar, misalnya guru panatia dalam bidang berkaitan boleh digunakan bagi memastikan ujian yang dibina mempunyai kesahan kandungan yang tinggi.

Ø Kesahan Gagasan

Gagasan merupakan sekumpulan konsep yang ada pada fikiran tetapi kita tidak dapat dilihat objeknya secara langsung seperti pencapaian, kecerdasan dan kreativiti. Setiap gagasan pendidikan mengandungi konsep-konsep yang rumit yang terdiri daripada banyak faktor yang saling berkait dan sukar dicerakinkan. Setiap gagasan mungkin diperlihatkan dalam suatu situasi tetapi tidak pada situasi lain. Sebab itu, tidak ada satu ujian yang boleh mengukur sesuatu gagasan dengan tepat.

Oleh kerana gagasan tidak dapat dilihat, pengukuran ke atasnya juga tidak dapat dilakukan secara langsung. Bagaimanapun terdapat ciri-ciri atau kesan yang dapat dicerap daripada sesuatu gagasan. Misalnya, gagasan penguasaan pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris. Guru boleh mencerap kesan gagasan penguasaan pelajar tersebut yang ditunjukkan oleh ciri-ciri seperti bilangan perbendaharaan kata Bahasa Inggeris yang dikuasai, kebolehan pelajar membina ayat mudah dalam Bahasa Inggeris dan kebolehan pelajar membincangkan sesuatu isu dalam Bahasa Inggeris.

Oleh itu, gagasan boleh diukur dan diuji secara tidak langsung berasaskan kesan-kesan atau ciri-ciri yang terhasil dari kewujudannya. Dengan itu, kesahan gagasan bagi ujian penguasaan Bahasa Inggeris boleh ditentukan dengan menghitung pertalian antara skor ujian itu dengan pencapaian dalam ujian perbendaharaan kata Bahasa Inggeris dan pembinaan ayat dalam Bahasa Inggeris.

Ø Berkaitan Dengan Kriteria

Kesahan berkaitan dengan kriteria merujuk kepada sejauh mana kaitan antara pencapaian dalam sesuatu ujian dengan kriteria luaran yang berkecuali. Kesahan berkaitan dengan kriteria mempersoalkan sama ada ujian sah mengukur kriteria yang hendak diukur. Sekiranya kriteria luaran yang berkecuali sebenarnya sah bagi mengukur kriteria yang hendak diukur, maka kaitan yang bererti antara ujian dengan kriteria luaran tersebut menunjukkan kesahan berkaitan dengan kriteria.

Terdapat dua jenis kriteria yang boleh digunakan. Kriteria serentak ialah kriteria yang ditunjukkan pada masa yang sama atau hampir sama dengan pengukuran yang dikenakan ke atas kriteria tersebut. Kriteria jangkaan ialah kriteria yang ditunjukkan pada satu selang masa selepas pengukuran dikenakan ke atas ujian tersebut.

* Kebolehpercayaan Ujian

Kebolehpercayaan merujuk kepada ketekalan ujian dalam mengukur apa yang hendak diukur. Ujian yang mengukur sesuatu gagasan dengan skor yang tekal dikatakan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Sebaliknya, ujian yang menghasilkan skor yang berubah-ubah mempunyai kebolehpercayaan yang rendah.

Sesuatu ujian yang mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi tidak semestinya sah. Bagaimanapun, sesuatu ujian yang sah biasanya boleh dipercayai. Jika faktor-faktor lain serupa, sesuatu ujian yang mempunyai pekali kebolehpercayaan yang tinggi perlu dipilih kerana ujian tersebut mempunyai ketekalan pemeringkatan individu dalam kumpulannya.

Kebolehpercayaan ujian dipengaruhi oleh faktor yang tidak sistematik. Faktor tidak sistematik adalah faktor yang menghasilkan perubahan atau variasi yang tidak dijangka yang dikenali sebagai perubahan rawak. Ujian yang mengukur dengan pincang sesuatu konsep boleh menghasilkan perubahan rawak. Ujian yang mengandungi arahan, soalan, butiran dan pernyataan yang tidak jelas dan mengelirukan juga boleh menghasilkan perubahan tidak sistematik.

Ø Indeks Kebolehpercayaan

Indeks kebolehpercayaan digunakan bagi menunjukkan ketekalan sesuatu ujian. Indeks ini ditentukan dengan menggunakan kaedah korelasi antara dua set skor ujian. Dua set skor boleh diperoleh dengan menggunakan kaedah uji dan uji kembali, kaedah bentuk setara atau kaedah bahagi dua. Uji dan uji kembali dibuat apabila pensyarah memperoleh dua set skor dari ujian yang sama yang ditadbirkan kepada pelajar yang sama pada dua masa berlainan.

Kaedah bentuk setara dibuat apabila pensyarah memperoleh dua set skor dari dua set ujian yang setara yang ditadbirkan pada pelajar pada masa yang sama. Kaedah bahagi dua dibuat apabila pensyarah memperoleh dua set skor dari jawapan pelajar terhadap soalan bernombor ganjil dan soalan bernombor genap dari satu set ujian yang ditadbirkan pada pelajar. Sekurang-kurangnya indeks kebolehpercayaan 0.75 diperlukan bagi memastikan ujian yang dibina boleh dipercayai.

Ø Mempertingkatkan Kebolehpercayaan

Berikut adalah cara bagaimana guru boleh meningkatkan kebolehpercayaan sesuatu ujian yang dibina.

    1. Arahan hendaklah jelas dan tepat.
    2. Pernyataan soalan mestilah jelas dan tepat.
    3. Soalan hendaklah seragam (homogen).
    4. Situasi dan masa ujian dijalankan hendaklah piawai, serupa dan terkawal.
    5. Elak ganguan kepada pelajar disebabkan arahan dan soalan tidak jelas.
    6. Elak kebimbangan pelajar semasa mereka menjawab soalan.

* Keobjektifan Ujian

Keobjektifan ujian berkait dengan sejauh mana perskoran sesuatu jawapan ujian bebas daripada pertimbangan pemeriksa. Jawapan yang sama mestilah mendapat skor yang sama walaupun diperiksa oleh dua orang pemeriksa. Sekiranya dua atau lebih pemeriksa memberi skor yang sama kepada jawapan yang sama, maka ujian mempunyai keobjektifan yang tinggi. Sebab itu, soalan aneka pilihan dikenali sebagai soalan objektif kerana mempunyai keobjektifan penskoran yang tinggi.

Bagi memastikan ujian mempunyai keobjektifan yang tinggi, skema penskoran perlu disediakan. Skema penskoran perlu dibuat lebih awal sebelum ujian ditadbirkan kepada pelajar. Seboleh mungkin skema penskoran disemak oleh beberapa guru yang pakar dalam bidang yang diuji. Selain mengelak dari dipengaruhi oleh jawapan pelajar, penyediaan skema jawapan sebelum pentadbiran ujian boleh mengesan kelemahan-kelemahan yang mungkin berlaku pada soalan supaya langkah pembetulan dapat dilakukan. Penyelarasan semakan perskoran antara pemeriksa juga perlu dibuat bagi memastikan proses penskoran mempunyai keobjektifan yang tinggi.

* Kebolehtadbiran

Sesuatu ujian mestilah boleh ditadbirkan dengan sempurna. Pentadbiran ujian yang sempurna sangat penting supaya semua pelajar mempunyai suasana yang sesuai untuk memberi jawapan yang terbaik. Dengan adanya suasana yang sesuai, kita lebih yakin bahawa jawapan diberi adalah berasaskan penguasaan pelajar dalam bidang yang diuji dan bukannya sumbangan faktor-faktor gangguan.

* Kemudahtafsiran

Penilaian pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah dan makmal memerlukan skor ujian sebagai asas untuk membuat keputusan. Sesuatu ujian mestilah boleh diskor dengan cekap. Skor yang diperoleh hendaklah mudah ditafsir.

Ø Penskoran Ujian

Pemberatan markah dan kaedah yang digunakan bagi penskoran jawapan sesuatu soalan perlu diberitahu kepada pelajar terlebih dahulu. Maklumat penskoran boleh disertakan pada arahan menjawab setiap soalan. Maklumat ini sangat perlu supaya pelajar dapat menjawab dengan tepat sebagaimana yang diharapkan oleh pembina dan pemeriksa ujian.

Kriteria penskoran jawapan dipilih biasanya telah ditentukan dan diketahui oleh pelajar semasa mereka menduduki ujian. Misalnya, sekiranya terdapat 50 soalan aneka pilihan dan jumlah markah yang diperuntukkan ialah 100, maka setiap soalan yang dijawab dengan betul akan mendapat 2 markah.

Penskoran jawapan dibina terutamanya yang memerlukan jawapan panjang tidak terhad lebih mencabar. Seringkali, pemeriksa sukar untuk mengelakkan diri daripada melakukan penskoran subjektif terhadap jawapan dibina. Sebab itu soalan esei biasanya dikenali sebagai ujian subjektif. Pemeriksa boleh mengurangkan kepincangan penskoran dengan memeriksa satu soalan bagi semua pelajar, sebelum berpindah kepada soalan berikutnya. Pemeriksa perlu mengelakkan diri dari mengenali identiti pelajar seperti nama dan nombor matrik pelajar. Pemeriksa sebagai ahli profesional perlu sentiasa ingat bahawa penskoran perlu dilakukan dengan bijaksana dan amanah. Kepincangan penskoran disebabkan kelemahan pemeriksa akan mendatangkan kesan yang serius kepada masa depan pelajar, masyarakat dan negara.

Penilaian jawapan dibina haruslah berasaskan kepada kriteria berikut:

a. Kandungan. Adakah pelajar mengemukakan semua isi atau kandungan bagi sesuatu soalan pokok?

b. Susunan atau organisasi. Adakah susunan atau organisasi jawapan teratur, kemas dan logik?

c. Proses. Adakah proses penggunaan, analisis, sintesis dan penilaian dilakukan dengan teratur dan sistematik?

d. Ketepatan dan kemunasabahan. Adakah isi jawapan tepat dan munasabah?

e. Keaslian dan kreativiti. Adakah jawapan yang diberi asli berasaskan kepada kreativiti pelajar sendiri?

f. Kesempurnaan dan ketekalan dalaman. Adakah isi jawapan yang dibentangkan sempurna dan mempunyai ketekalan dalaman yang tinggi?

Ø Pentafsiran Skor Ujian

Skor ujian tidak mendatangkan apa-apa makna kecuali pensyarah berupaya membuat tafsiran yang tepat dan sesuai. Skor 60 yang diperoleh oleh seseorang pelajar dalam ujian matematik tidak memberi makna kecuali kita boleh mentafsirkannya sebagai penguasaan yang lemah, sederhana atau cemerlang. Tafsiran terhadap skor ujian adalah sangat penting bagi menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di universiti dicapai. Tafsiran perlu dilakukan dengan objektif bagi mengelakkan pertimbangan peribadi penilai.

Justeru itu, skor ujian perlu dianalisis bagi menentukan ciri yang tepat yang ada pada set skor. Di antara ciri yang biasanya diperlukan bagi membuat tafsiran yang tepat ialah ciri kecenderungan memusat dan serakan skor-skor ujian. Skor-skor ujian perlu juga dipiawaikan bagi membolehkan perbandingan dibuat antara pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar lain.

2 Response to Konsep Pengujian

June 7, 2010 at 12:25 AM

wah..boleh praktik mse praktikum ni..he3

August 18, 2010 at 9:38 AM

boleh jee..gune la sebaik mungkin

Post a Comment