Saturday, June 5, 2010

Konsep Pentaksiran

0
* Definisi Pentaksiran

Asslamualaikum dan salam sejahtera kepada semua warga IPG seluruh Malaysia khususnya. Kali ini saya akan berkongsi tentang konsep pentaksiran.Apakah konsep pentaksiran itu?Istilah “pentaksiran” mula digunakan dalam penilaian pencapaian. Popham (2000) menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan secara silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran, yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000).

Pentaksiran dalam konteks pendidikan merupakan usaha untuk mendapatkan gambaran prestasi murid melalui aktiviti menghurai, mengumpul, memberi skor, merekod, merumus dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran bagi sesuatu tujuan. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

Pentaksiran mestilah berterusan, sebagai sebahagian daripada P&P untuk mendapatkan maklumat terus menerus tentang prestasi murid. Maklumat ini mestilah tepat, adil dan menyeluruh supaya tindakan sewajarnya dapat diambil .

Pentaksiran boleh juga diertikan sebagai proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Proses mendapatkan maklumat untuk membuat pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan boleh dihuraikan seperti berikut:

• Proses ialah langkah / tindakan / operasi yang digunakan untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki .

• Maklumat ialah bukti tentang prestasi calon / murid dalam sesuatu perkara yang ditaksir .

• Pertimbangan merupakan proses penghakiman tentang pencapaian murid.

• Produk dalam konteks pendidikan merupakan pengetahuan, kemahiran serta nilai dan sikap yang diperolehi oleh murid setelah melalui proses pendidikan

Ciri-ciri pentaksiran boleh dihuraikan seperti berikut:

• Sah merujuk kepada ciri skor berhubung dengan kerelevenan dan kecukupan skor itu untuk menggambarkan prestasi murid dalam perkara yang ditaksir .

• Bolehdipercayai merujuk kepada ciri skor dari segi ketepatan dan ketekalan skor itu bagi menggambarkan perkara yang ditaksir .

• Keobjektifan merujuk kepada ketepatan seseorang pentaksir memberikan skor murid atau ketepatan seseorang memeriksa skrip jawapan murid.

• Kebolehtadbiran ialah ciri praktik yang merujuk kepada sejauh mana kelicinan dan kemudahtadbiran kerja-kerja susulan dapat dijalankan.

• Kemudahtafsiran merujuk sejauh mana ianya dapat memberikan maklumat tentang murid, sebagai indikator diskriminasi dan memenuhi objektif pentafsiran .

Tujuan Pentaksiran

· Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran.

· Menilai aktiviti yang dijalankan semasa P&P.

· Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran

· Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran

· Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.

· Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.

· Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susu yang berkesan.

· Pentaksiran merangkumi aktiviti menghurai, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang hasil pembelajaran seseorang murid

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

No Response to "Konsep Pentaksiran"

Post a Comment